“Pada peringkat awal penerbangan kami turut terganggu, tetapi ia kini sudah kembali normal. Namun kami kini memantau keadaan dan krisis radiasi,” katanya dalam satu temubual dengan Reuters.
Awan debu berpunca daripada ledakan gunung berapi di Iceland hingga menjadikan Eropah sebagai zon larangan penerbangan pada April tahun lalu itu menyebabkan industri penerbangan mengalami kerugian pendapatan lebih AS$1.7 bilion.
Namun penganalisis berkata, gempa bumi Jepun dilihat tidak akan memberikan kesan sama.
Bencana itu bagaimanapun dilihat akan tetap memberikan kesan kepada sentimen pelabur dan penumpang pesawat, yang mungkin memberi kesan tidak langsung terhadap MAS, meskipun masih terlalu awal untuk bercakap mengenainya.
“Permintaan masih tidak sekukuh seperti sebelum ini. Eropah masih dilihat belum pulih, sementara Amerika Syarikat sedang dalam peringkat pemulihan. Asia masih baik, tapi saya berpendapat dengan insiden yang berlaku di Jepun, kesan tidak langsungnya masih belum boleh ditentukan,” kata Tengku Azmil.
“Wujud juga ketidakpastian mengenai keadaan permintaan jangka pendek dan sederhana. Keadaan berkenaan, ditambah pula dengan peningkatan harga minyak mentah adalah sesuatu yang membimbangkan,” katanya.
Di sebalik cabaran pada 2011 ini, Tengku Azmil berkata, beliau yakin MAS akan berada dalam kedudukan lebih kukuh.
MAS memulakan rentak yang meyakinkan apabila ia mencatatkan keuntungan bersih melepasi unjuran kebanyakan penganalisis yang menjangkakan syarikat itu akan menanggung kerugian.
Keuntungan operasinya untuk keseluruhan tahun lalu melonjak lebih tiga kali ganda daripada tahun kewangan sebelumnya kepada RM137 juta.
Bagaimanapun, kos minyak dan bencana di Jepun serta ketidaktentuan situasi politik di Asia Barat, mengancam rentak pemulihan MAS, yang sudah memulakan program pemulihannya sejak 2006 selepas mengalami kerugian besar RM1.3 bilion pada tahun sebelumnya.
Namun, Tengku Azmil berkata, MAS sudah mengalami banyak perubahan dalam tempoh lima tahun lalu dan syarikat penerbangan itu kini berada dalam kedudukan terbaik.
“Bahayanya perniagaan ini boleh menerima kesan daripada perkara jangka pendek, tetapi kami masih perlu melihat situasi jangka sederhana dan panjang,” katanya.
*Berita dipetik dari laman Berita Harian bertarikh 18.3.2011
Lebih banyak berita, sila lawati Berita Harian Online sekarang!!
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.